Perkembangan teknologi maklumat membolehkan lebih ramai masyarakat memperoleh serta menggunakan IT untuk pelbagai urusan seharian. Antara penggunaan IT yang paling ketara dalam pengurusan organisasi pada masa kini adalah penggunaan sistem kod palang. Sistem kod berpalang dan teknologi komputer banyak diaplikasikan oleh setiap perniagaan terutamanya di sektor pengurusan perniagaan peruncitan.
Selain daripada itu, penggunaan internet dapat membantu aspek pemasaran bagi sesebuah organisasi perniagaan. pada ketika ini, penggunaan internet sebagai media pengiklanan telah digunakan dengan begitu meluas. Kaedah pemasaran menggunakan internet adalah lebih praktikal berbanding dengan kaedah pengiklanan menggunakan media elektronik dan media cetak.
IT juga telah membawa perubahan terhadap kaedah pengambilan pekerja. Pengambilan pekerja dapat dilakukan secara online menerusi internet atau laman web syarikat. kaedah ini dikenali sebagai internet recruitment. Dengan cara ini, syarikat dapat mengurangkan kos pencetakan borang permohonan dan kos pengeposan.
Perlu diketahui bahawa, aspek pengurusan organisasi yamg awal dan paling ketara dalam penggunaan dan penerimaan IT adalah dalam bidang proses pengeluaran. Sebelum kedatangan peralatan IT yang lebih canggih, proses pengeluaran telah menerima kehadiran bantuan peralatan pengkomputeran untuk mengawal mesin-mesin yang bekerja. Pihak pengurusan hanya memerlukan tenaga mahir, separuh mahir dan pakar untuk tujuan kawalan dan pengendalian secara berterusan. Kini, kehadiran IT yang berbentuk robotik semakin canggih dan semakin meluas digunakan.
Selain itu, aktiviti pengurusan kewangan sesuatu perniagaan juga dibantu oleh sistem IT untuk menguruskan, mengumpul, merekod dan mengemaskinikan semua maklumat yang berkaitan dengan kewangan. Antaranya seperti sistem payroll untuk pembayaran gaji dan juga perisian Mr. Accounting untuk merekod setiap urusniaga harian organisasi.
sumber: Jurnal Teknikal dan Kajian Sosial oleh Hayati@Habibah Abdul Talib & Khairur Rijal Jamaludin